Monday 21 May 2012

Perancangan Pembangunan Profesional

Posted by nurzulfa aini at 19:43

Menjelang lima tahun akan datang, sebagai seorang pendidik yang profesional saya merancang untuk meningkatkan lagi  prestasi pelajar- pelajar di sekolah saya dengan membuat perancangan yang lebih baik daripada sebelum – sebelumnya. Perancangan yang akan saya lakukan adalah berdasarkan refleksi yang telah dijalankan terhadap pencapaian sebelum ini. Saya juga akan mengubah teknik pengajaran sedia ada kepada teknik yang lebih efisyen dan sesuai mengikut peredaran semasa.
 Saya percaya bahawa subjek sains adalah subjek sains melibatkan lebih daripada sekadar mendapat pengetahuan. Ia adalah siasatan yang sistematik dan teratur ke dalam dunia semula jadi dan fenomenanya. Mempelajari sains juga adalah mengenai memperolehi pemahaman dunia yang lebih mendalam dan berguna. Selain itu, sains adalah usaha bersepadu manusia untuk memahami, atau untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah semulajadi dunia dan bagaimana dunia semulajadi menjalankan fungsinya, dengan pemerhatian bukti-bukti fizikal sebagai asas pemahaman. Ianya dilakukan melalui pemerhatian fenomena semulajadi, melalui kajian yang menunjukkan proses semula jadi di bawah keadaan yang terkawal.
            Sepanjang pengalaman saya bekerja sebagai seorang pendidik, saya dapati kebanyakan para pelajar di sekolah sukar untuk menumpukan perhatian seratus perastus di dalam kelas sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini. Antara faktor yang dapat dilihat dengan jelas ialah para pelajar mudah berasa bosan dengan tajuk yang diajar. Hal ini kerana mereka tidak faham terhadap apa yang disampaikan oleh guru terutamanya bagi subjek sains. Selain itu juga gangguan dari rakan-rakan lain juga menghalang pelajar – pelajar lain untuk terus menumpukan perhatian mereka semasa di dalam kelas. Antara gangguan yang dapat saya lihat ialah ada dalam kalangan pelajar yang suka mengganggu guru yang sedang mengajar dengan mengajukan soalan - soalan yang tidak berkaitan dengan tajuk yang sedang di bincang.
            Oleh yang demikian saya merancang untuk meluangkan lebih banyak masa saya untuk menjalankan aktiviti perbincangan ‘one to one’ dengan murid-murid saya. Saya juga berazam untuk lebih mendekati para pelajar saya bagi membantu mereka menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi tidak kira samada masalah dalam pembelajaran mahupun masalah peribadi. Hal ini kerana tugas untuk membentuk disiplin pelajar bukan sahaja terletak pada guru disiplin semata-mata akan tetapi tugas ini melibatkan semua warga pendidik.
Selain itu juga, saya merancang untuk menyambung pengajian saya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu sehingga ke peringkat phD. Saya juga merancang untuk menghadiri persidangan pendidikan sains bagi membincangkan isu –isu semasa berkaitan bidang pendidikan dan menjalankan aktiviti yang mampu meningkatkan taraf pendidikan di negara ini dengan membuat usul pada persidangan tersebut. Saya juga berminat untuk mengetahui segala bentuk penyelidikan teknologi yang dibentangkan pada persidangan tersebut. Disamping itu juga saya bercadang untuk menghadiri bengkel – bengkel yang melibatkan pengurusan pengajaran dan pembelajara. Hal ini kerana, arus pendidikan sentiasa berubah, maka perkembangan para pelajar juga sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Oleh yang demikian, dalam usaha pengurusan dan pengajaran para pelajar, guru perlu sentiasa aktif dalam menangani segala masalah dengan kaedah yang terkini dan pelbagai.

0 comments:

Post a Comment

 

Information & Communication of Technology in Science Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review