Sunday 25 March 2012

Falsafah Pengajaran

Posted by nurzulfa aini at 04:51
           Guru bertindak sebagai konsultan, fasilitator, pendidik, penasihat dan kawan kepada pelajar – pelajar. Seorang guru perlu ikhlas dalam menjalankan tugas, sentiasa bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran serta dedikasi dalam menghasilkan hanya yang terbaik. Perkara yang paling penting bagi seorang guru ialah menguasai ilmu atau kemahiran dalam mata pelajaran diajar. Guru yang pandai mendidik akan memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep atau sesuatu kemahiran, manakala guru yang tidak pandai mendidik atau mengajar akan  menyebabkan pelajar sukar untuk memahami sesuatu  konsep atau  sesuatu kemahiran, malah hal ini menyebabkan bosan dan hilang tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Saya lebih gemar menggunakan kaedah pengajaran yang mampu memudahkan para pelajar saya untuk memahami sesuatu konsep. Tujuan saya mengajar adalah untuk memberi kefahaman terhadap para pelajar saya serta memastikan bahawa para pelajar saya dapat mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari dalam kehidupan disamping memupuk sahsiah murni pelajar dan bukan semata-mata unntuk tujuan peperiksaan Saya akan menggunakan pelbagai teknik untuk mengajar bagi subjek yang saya ajar. Hal ini kerana setiap pelajar mempunyai tahap penerimaan yang berbeza. Antara teknik pengajaran yang akan saya gunakan ialah belajar sambil main, main peranan, perbincangan, penyelesaian masalah, pembelajaran masteri, perbahasan, kuiz dan pelbagai lagi.
Bagi memastikan sama ada pelajar saya faham atau tidak bagi topik yang dibincangkan, saya akan mengemukakan soalan kepada pelajar. Sekiranya pelajar dapat menjawab lapan puluh peratus betul daripada keseluruhan soalan , bermakna para pelajar faham dengan jelas akan topik yang telah diajar. Antara bahan bantu mengajar yang akan saya gunakan  ialah peralatan elektronik dan juga peralatan bukan elektronik. Peralatan elektronik yang sesuai digunakan seperti komputer, televisyen, radio dan juga sebarang alat audio dan video. Manakala, antara bahan bukan elektronik seperti peta, carta, surat khabar, papan putih, buku dan sebagainya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa aspek penting yang perlu diambil kira semasa memilih bahan bantu mengajar. Hal ini keranan bahan bantu mengajar yang saya gunakan perlu berkait dengan isi kandungan pelajaran yang diajar serta mampu menggunakan seberapa banyak deria yang mungkin. Bahan bantu mengajar juga perlulah sesuai dengan kemudahan yang ada di sekolah serta mudah diubah alih dan dipasang semula.
Pelajar  merupakan penuntut yang berkemahiran dan aktif. Oleh hal yang demikian golongan ini seharusnya diberi peluang untuk mengutarakan pandangan mereka terutamanya semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, golongan ini perlu sentiasa diserapkan dengan nilai- nilai murni agar kelak mereka dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang mampu menyumbang kearah pembangunan negara. Oleh hal yang demikian, ibubapa dan masyarakat memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran pelajar.  Ibubapa dan masyarakat seharusnya mempunyai hubungan yang baik dengan pihak sekolah bagi memastikan perkembangan para pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Golongan ini perlu sedar bahawa tugas mendidik pelajar bukan hanya terletak pada bahu guru sahaja tetapi merupakan tanggungjawab bersama. Hal ini kerana para pelajar mendapat asuhan awal dari rumah dan golongan ini seharusnya lebih mengenali corak pembelajaran pelajar. Ibubapa dan masyarakat juga perlu memberi sokongan dalam aktiviti sekolah yang memerlukan penglibatan mereka.
Persekitaran juga memainkan peranan dalam menyumbang ke arah proses pembelajaran yang berkesan. Saya akan menjadikan bilik darjah saya sebagai tempat yang paling selesa untuk pelajar-pelajar saya belajar. Warna kelas yang saya pilih adalah sesuai dengan suasana pembelajaran pelajar iaitu tidak terlalu gelap dan tidak terlalu cerah. Selain itu, saya juga akan menyediakan sudut bacaan agar para pelajar dapat memanfaatkan masa terluang dengan menggunakan sudut bacaan sebagai medium untuk mendapatkan maklumat tambahan semasa berada di dalam bilik darjah. Di samping itu, saya juga akan memastikan susunan kedudukan pelajar di dalam kelas adalah susunan yang memudahkan para pelajar untuk belajar dengan selesa serta selamat. Hal ini kerana, apabila susunan kedudukan pelajar tidak sesuai, maka tidak semua pelajar mampu menumpukan perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh guru disebabkan terdapat beberapa gangguan seperti pencahayaan yang terlalu terang dan beberapa gangguan lain lagi. Walau bagaimanapun perkara yang paling penting dalam proses pengajaran adalah mencapai segala objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.

0 comments:

Post a Comment

 

Information & Communication of Technology in Science Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review